'Setem' - menu baru Kabir
Oleh Wahiduzzaman

Kabir Bhatia: "Saya sungguh bertuah sepanjang menyiapkan filem ini kerana dikelilingi oleh barisan pelakon dan tenaga produksi yang hebat" |
16 Jul – Kabir Bhatia pernah mengecapi episod suka dan duka menerusi dua buah karyanya terdahulu. "Cinta", sentuhan sulung Kabir yang dihidangkan pada lewat 2006 terus melonjakkan nama pengarah ini di persada seni tanah air apabila berjaya memperolehi kutipan yang memberangsangkan di pawagam selain pengiktirafan pelbagai anugerah termasuk Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia 2007. Namun, kemunculan "Sepi" yang masih berpaksikan genre cinta, drama dan romantik seakan tidak berjaya mengulangi kemanisan yang dinikmati "Cinta".
Namun, Kabir tidak tunduk mengalah. Sebaliknya, beliau terus mengorak langkah dengan menghidangkan sesuatu yang baru dan segar, berbeza daripada genre lazimnya, cinta. Bagaikan membuka buku baru, Kabir mencipta formula yang lebih segar, ringan dan dekat dengan jiwa penonton Malaysia iaitu filem komedi aksi. Menerusi karya terbarunya "Setem", Kabir mengangkat tema komedi aksi sebagai pertaruhan terbarunya.
Penghasilan "Setem", filem ketiganya ini, juga secara tidak langsung membuktikan kemampuannya yang bukan sahaja mahir menyampaikan cerita cinta yang berkesan pada visual, malah berupaya mengenengahkan menu baru yang berkualiti dan membanggakan.
Bercakap pada sidang media di malam gala "Setem" baru-baru ini, Kabir percaya jika sesebuah filem itu dihasilkan dengan keikhlasan, ketelitian dan kesungguhan, ia pasti akan membuahkan hasil yang memuaskan. Malah, menurutnya lagi percubaan untuk menghasilkan genre baru buatnya ini dianggap sebagai satu cabaran terbaik buat dirinya sebagai pembikin filem. Beliau yang teruja dengan "Setem" ini tidak dapat menyangkal kepuasan yang dinikmatinya sepanjang penggambaran kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon dan tenaga kerja filem yang hebat, dedikasi dan komited.

Selepas "Sepi", Afdlin Shauki sekali lagi diberi kepercayaan sebagai pelakon utama "Setem" |

Orang baru... Isma Yusoof sungguh teruja dan rasa bertuah kerana berpeluang bergandingan dengan nama-nama besar di dalam filem pertamanya |
"Pengalaman menghasilkan filem ini memberikan satu kepuasan kepada saya kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon dan tenaga penerbitan yang hebat dan berpengalaman."
Mengakui proses penghasilan "Setem" bukanlah semudah jalan ceritanya yang kelihatan ringan dan ringkas itu, Kabir menjelaskan bahawa skrip "Setem" itu sahaja memerlukan beberapa kali pindaan. Jika menerusi "Cinta" dan "Sepi", Kabir bergandingan dengan penulis skrip, Mira Mustafa yang juga isterinya dalam membina plot dan naratif. Namun untuk "Setem", ia adalah buah fikiran solonya yang pertama. Skrip itu memakan masa yang lama untuk dilengkapkan bermula dari tahun 2002 lagi. Hanya pada tahun 2007, barulah Kabir berani mencuba nasib menghampiri produksi Tayangan Unggul dengan lima skrip. Memang sudah rezeki, salah sebuah skrip yang dipertaruhkan iaitu "Setem" berjaya menawan hati pihak penerbit sekaligus merealisasikan impiannya untuk menerajui genre komedi aksi pula.
"Filem "Setem" terperam lebih setahun selepas siap sepenuhnya sekitar tahun lalu kerana beberapa masalah teknikal pada visual filem ini yang menuntut pihak produksi untuk melakukan beberapa pemindaan pada visual dan kesan khas bagi tujuan memperkemaskan visual yang agak kabur sebelum ini," jelas Kabir lagi.
Sementara itu, penerbit eksekutif Tayangan Unggul (TU), Gayatri Su-Lin Pillai menambah, "Sebenarnya, selain daripada masalah teknikal yang dihadapi, tujuan pihak TU menyimpan filem ini semata-mata untuk mencari tarikh tayangan yang paling sesuai. Selepas perbincangan dan kajian yang kami lakukan, kami sepakat memilih 30 Julai sebagai tarikh pembukaan filem ini. Sebagai penerbit dan juga pengeluar filem ini, kami amat berharap agar tarikh yang dipilih ini akan membawa tuah kepada "Setem"".
 |
| Cinnamon (dipegang oleh Isma Yusoof) diapit oleh barisan pelakon filem "Setem" di sidang media tayangan perdana filem |
"Setem" yang menghimpunkan 23 pelakon berpengalaman dan baru dibarisi oleh Afdlin Shauki (Joe), Rashidi Ishak (Sid), Que Haidar (Iskander), Vanidah Imran (Alliya), Sathia (Vellu), Indie Nadarajah (Mani), Chew Kin Wah (Lim Piranha), Isma Yusoof (Aryanto), Datuk Aziz Sattar (Pak Ramli), Richard Gardner (Charles Barring) dan ramai lagi. Berdurasi 110 minit, "Setem" juga merupakan filem pertama terbitan Tayangan Unggul yang dirakam di dalam format High Definition (HD). Filem yang bakal menjengah panggung mulai 30 Julai ini akan ditayangkan di 54 buah pawagam seluruh Malaysia.